Tuesday, April 6, 2010

RAHSIA DI SEBALIK BANGUN MALAM

Kita tidak dapat lari daripada kesilapan. Kesilapan kepada Tuhan, ibu bapa, guru dan sesama makhluk di muka bumi ini. Kadangkala terdetik di hati, apa yang kita lakukan itu salah tetapi kita masih melakukannya. Dosa-dosa yang terpalit itu menjadi titik-titik hitam di hati. Akibatnya, kita kian leka dengan kemaksiatan yang dilakukan. Bagi yang terpilih pula, hatinya berasa tidak senang. Terasa ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya kosong kerana dahagakan sesuatu.

Mungkin Tuhan tidak mahu dia tersesat lebih jauh. Maka, mulakanlah langkah baru. Pintu taubat masih terbuka. Mulakannya dengan bangun di tengah malam. Di saat orang lain dibuai mimpi indah, mintalah petunjuk dan hidayah dari Tuhan. Tunaikan sembahyang taubat. Menangislah kepada Tuhan. Merayulah kepada-Nya. Berdoa dengan penuh keikhlasan. Berazamlah untuk tidak melakukan kesalahan itu lagi. Sesungguhnya Tuhan sentiasa membuka pintu keampunan kepada hambanya yang ikhlas berdoa.

Keheningan malam itu dihiasi dengan zikrullah diiringi dengan tangisan keinsafan. Pada saat itu, kemanisan iman dapat di rasai. Hati yang dilanda keresahan pasti menjadi tenang. Kesibukan harian menjadi cabaran untuk mematangkan diri. Kecelaruan yang menyelubungi diri anda mudah-mudahan akan beransur hilang. Yakinlah dengan pertolongan Tuhan.

sumber : Nurul Aini K. Azhari
PTS Millennia Sdn. Bhd