Monday, January 25, 2010

KUALITI DAN JATI DIRI PELAJAR CEMERLANG

Antara kualiti-kualiti pelajar cemerlang adalah seperti berikut:

Amanah

Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Hal ini kerana, pelajar yang cemerlang akan sentiasa bercakap benar, tidak berbohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Hal ini kerana, mereka sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Tuhan.

Bijak

Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Hal ini kerana, mereka akan menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya, melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya serta cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Cergas

Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Pelajar yang cemerlang juga akan menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Hal ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi

Pelajar yang cemerlang sangat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasan yang diberikan akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok

Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Hal ini kerana, pelajar yang cemerlang mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi dan mereka juga akan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat serta sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah dan hidup juga tidak diberkati Tuhan. Selain itu, pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham

Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian menyebabkan mereka lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih

Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun serta berasa seronok mempelajari setiap mata pelajaran serta mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat

Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman

Pelajar yang cemerlang merupakan seorang individu yang taat kepada perintah Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan norma-norma hidup iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Mereka juga mentaati ibu bapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

sumber diperolehi daripada google

RENUNGAN BERSAMA.....

1000 mancis tidak menerangi kau di dalam kegelapan buat selama lamanya tetapi cahaya keimanan dapat membawa kau ke jalan kesenangan

sumber diperolehi daripada google

No comments:

Post a Comment